Skip to main content

Memahami Undang-Undang Anti Kekerasan Kanak-Kanak di Sweden





Mungkin ramai yang kurang jelas dengan isu pasangan suami isteri rakyat Malaysia yang bekerja di Sweden ditahan reman kerana didakwa memukul anak mereka yang berumur 12 tahun kerana tidak menunaikan solat.


Ramai yang hairan mengapakah kes seringan itu - memukul tangan anak yang enggan bersolat - boleh menjadi isu besar yang mencabar hubungan diplomatik Malaysia-Sweden.

Sebenarnya, semua ini berpunca daripada sistem perundangan negara Scandinavia itu yang begitu tegas dalam menjaga kebajikan kanak-kanak.

Sehingga kini terdapat empat kes membabitkan keluarga muslim di Sweden yang dijatuhi hukuman penjara kerana didapati bersalah 'mendera' anak-anak mereka.

Sweden melaksanakan Akta Perlindungan Kanak-kanak (Child Protection Act) yang ketat. Seperti dijelaskan Kedutaan Sweden di Malaysia, semua bentuk hukuman dera (corporal punishment) terhadap kanak-kanak termasuk memukul, menampar, mencubit, menarik rambut dan merotan dianggap sebagai menyalahi undang-undang (illegal) dan menyalahi norma masyarakat setempat.

Sweden adalah negara pertama mengharamkan hukuman fizikal terhadap kanak-kanak dalam semua keadaan - sama ada di rumah atau di sekolah - mulai 15 Mac 1979. Sejumlah 24 negara telahpun melaksanakan undang-undang yang serupa sejak daripada tarikh tersebut.

Menurut Seksyen 5, Swedish Penal Code, mereka yang didapati bersalah boleh dihukum penjara antara 6 bulan dan sepuluh tahun bergantung kepada merit sesuatu kes.




Latar belakang Swedish Penal Code

Sweden melaksanakan undang-undang yang keras terhadap ibu bapa yang memukul atau menampar anak berdasarkan kepada keputusan kajian projek yang besar dilaksanakan sekitar 1970-an. Kajian tersebut dilaksanakan kerana terdapat banyak kes penderaan terhadap kanak-kanak dan anak-anak dalam negara tersebut terutama di kalangan pendatang asing dan rakyat yang tidak mempunyai pekerjaan.

Kajian menunjukkan ibu bapa yang berada di negara tersebut terlibat dalam pelbagai bentuk penderaan fizikal terhadap anak-anak mereka. Mengikut kajian tersebut, 75 peratus ibu dan 63 peratus bapa yang tidak mempunyai pekerjaan di luar rumah terlibat dalam penderaan anak-anak. Bapa sering mendera anak-anak lelaki manakala ibu pula mendera anak perempuan terutamanya di kalangan keluarga imigran.

Sebelum undang-undang jenayah penderaan kanak-kanak dilaksanakan, kerajaan Sweden menggunakan pelbagai inisiatif membendung kes penderaan ini. Antara kegiatan yang dilaksanakan adalah memberi khidmat nasihat kepada para ibu bapa mengenai pendidikan anak-anak terutamanya di kalangan masyarakat yang menghadapi masalah kewangan termasuk imigran yang menetap di negara tersebut.

Khidmat nasihat dan pelbagai kegiatan dilaksanakan oleh kerajaan Sweden bagi membendung kegiatan penderaan anak-anak masih tidak berkesan.

Berdasarkan suasana sedemikian maka para pengkaji menegaskan bahawa menghentikan kesemua bentuk penderaan kanak-kanak sama ada pukul atau menampar merupakan salah satu cara terpenting untuk membendung penderaan fizikal kanak-kanak.

Hasil kajian tersebut maka pada 1979, kerajaan Sweden meluluskan undang-undang berkaitan penderaan kanak-kanak iaitu memukul dan menampar kanak-kanak adalah kes jenayah. Sweden merupakan negara pertama di dunia meluluskan undang-undang tersebut .

Pada 1993, kerajaan Sweden melantik agensi penyiasat dan perisik bagi mempertahankan hak kanak-kanak dan memelihara kepentingan mereka. Para penyiasat ini diwajibkan mematuhi hak kanak-kanak sepertimana digariskan oleh Konvesyen Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu 1989.

Memandangkan Sweden adalah negara sekular yang terlalu liberal maka sukar bagi mereka memahami perasaan dan pemikiran orang beragama yang terikat dengan nilai dan budaya keagamaan. Suasana begini amat sukar bagi umat Islam untuk mendidik anak-anak dalam hal ehwal keagamaan mengikut tradisi yang diamalkan masyarakat Islam dalam negara Islam.



Pendidikan dalam Islam

Istilah pengajaran secara amaran seperti memukul tangan atau menampar yang menjadi tradisi ibu bapa mendidik anak-anak degil dan yang sering melakukan kesalahan merupakan tradisi kebanyakan ibu bapa dalam negara Islam.

Masyarakat sekular tidak akan menitik berat soal pendidikan keagamaan kerana mereka memisahkan agama dengan kehidupan seharian. Oleh itu anak-anak mereka bebas menentukan corak hidup mereka asalkan tidak melanggar undang-undang yang dilaksanakan oleh negara.

Bagi umat Islam, kehidupan di dunia mempunyai kaitan dengan hari akhirat. Oleh itu ibu bapa amat prihatin terhadap pendidikan agama untuk anak-anak mereka. Jika anak-anak mereka ingkar melaksanakan sembahyang atau amalan yang diwajibkan oleh Allah maka ini satu perkara yang serius.

Umat Islam yang berada di negara sekular sepatutnya memahami undang-undang dan tradisi negara tersebut. Latihan keagamaan bukan semestinya dengan menggunakan pendekatan yang keras. Penerangan, penjelasan terhadap kepentingan agama dalam kehidupan manusia serta hikmah-hikmah melaksanakan hukum-hakam Allah adalah cara pendidikan yang paling praktikal bagi anak-anak masa kini terutamanya yang berada di negara sekular.

Kefahaman dan kesedaran terhadap agama amat penting diserap dalam jiwa dan pemikiran anak-anak supaya mereka tidak mudah dipengaruhi oleh budaya masyarakat yang tidak mempercayai kewujudan Tuhan.

Ketika berada dalam negara sekular barat maka pepatah Melayu yang mengatakan "Di mana bumi dipijak di situ langit dijunjung" perlu menjadi landasan kehidupan. Undang-undang dan tradisi negara tersebut sepatutnya difahami dan diteliti supaya tindakan tidak disalahtafsirkan.



sumber: utusan malaysia, harakahdaily


Comments

Popular posts from this blog

15 Kepercayaan Masyarakat Melayu Mengenai Tanda-Tanda Alam

Ada banyak kepercayaan masyarakat Melayu lama yang berhubungan dengan tanda-tanda alam. Ramai yang masih mempercayainya dan tidak kurang juga yang menganggapnya sebagai kepercayaan tahayul. Tanda-tanda alam itu boleh memberi gambaran maksud negatif atau positif. 1. Kalau kupu-kupu masuk ke dalam sesebuah rumah, itu menandakan ada orang jauh yang akan datang ke rumah.

Ayahku Kekasihku - Kisah Benar Anak Bercinta Dengan Ayah Sendiri

Cerita di bawah ni dah lama disiarkan oleh Harian Metro, tapi tak kisahlah, nak share jugak. Cerita yang membuktikan tiada apa yg mustahil jika nafsu Syaitan menguasai diri. Semoga Allah melindungi anak cucu keturunan kita. Marilah kita sentiasa berdoa supaya kita sentiasa diberikan hidayah olehnya dan dijauhi oleh pekara-perkara yang tak baik. Ikuti pengakuan Lina kepada wartawan Metro Ahad, ZAINUDDIN ZAIN dan FUAD HADINA YAACOB mengenai hubungan yang dilalui bersama bapanya, ahli perniagaan berusia 43 tahun. KUALA LUMPUR: Kes ‘haruan makan anak’ bukan lagi sesuatu yang mengejutkan dalam masyarakat hari ini, tetapi kejadian ayah bercinta dengan anak sendiri mungkin sukar diterima. Bagaimanapun itulah yang berlaku ke atas Lina, 21, yang dijadikan kekasih oleh ayahnya sejak empat tahun lalu sehingga dia kini hamil enam bulan.

Petua Hilangkan Dakwat Pen Pada Pakaian

BILA pakaian anda terutamanya yang berwarna putih terkena dakwat pen memang haru biru jadinya. Silap-silap baju yang baru dibeli pun anda akan buang. Pun begitu, jangan pening kepala ya. Femina ada petuanya untuk menghilangkan dakwat berkenaan, yang penting anda berusaha. 1) Air limau Titiskan air limau yang dicampurkan dengan garam pada bahagian baju yang kotor terkena dakwat. Tunggu seketika dan gosok perlahan-lahan. Kemudian cuci baju itu seperti biasa.